Jadual Liga M memenatkan?
SAINGAN Liga Malaysia (Liga M) 2009 secara rasmi membuka tirainya pada 3 Januari lalu dengan tujuh perlawanan kempen Liga Super berlangsung serentak membabitkan 14 pasukan. Ia disusuli perlawanan sulung Liga Perdana pada 9 Januari yang juga disertai 14 pasukan bagi musim ini.
Namun ketika Liga Super baru mengharungi empat perlawanan dan Liga Perdana baru saja bermula dua perlawanan, Liga M 2009 terpaksa direhatkan untuk tempoh lebih dua minggu. Ia bagi memberi laluan kepada aksi sulung kelayakan Piala Asia 2011 di mana Malaysia bertemu Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 21 Januari.
Pada awalnya, Liga M sudah kembali disambung tiga hari kemudian bagi memastikan kehangatannya berterusan tetapi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memilih untuk 'menyejukkan' saingan. Perlawanan berikutnya hanya diadakan seminggu selepas itu iaitu pada 31 Januari untuk aksi pusingan pertama Piala FA dan saingan Liga Super hanya disambung pada 10 Februari manakala Liga Perdana pada 9 Februari.
Jelas sekali 'rehat' tanpa sebab itu telah menyumbang kepada dua perkara.
Pertama, kehadiran penonton di stadium kembali berkurangan, sedangkan pada awal saingan, stadium sudah mula dipenuhi penonton.
Kedua, disebabkan rehat yang agak panjang, ia menyebabkan berlakunya jadual padat sepanjang bulan Februari.
Rata-rata pasukan yang hanya beraksi antara dua hingga empat perlawanan sepanjang Januari lalu tiba-tiba terpaksa mengharungi sehingga 10 perlawanan sepanjang tempoh sebulan pada Februari. Ini bermakna, mereka terpaksa beraksi dengan purata satu perlawanan setiap tiga hari secara berterusan untuk 10 perlawanan dalam tempoh selama sebulan.
Sesuatu yang tidak boleh diterima akal kerana sudah pasti ia akan mengakibatkan para pemain terdedah kepada kecederaan, sukar untuk melakukan proses pemulihan segera selepas perlawanan seterusnya mendorong kepada aksi kurang bermaya di atas padang.
Lapan pasukan yang layak ke suku akhir Piala FA iaitu Kelantan, UPB-MyTeam, Negeri Sembilan, T-Team, Perlis, Harimau Muda, Selangor dan Perak merupakan antara contoh terbaik pasukan-pasu- kan yang paling dibebani dengan jadual perlawanan yang ketat itu.
Lima pasukan dari Liga Super iaitu Kelantan, UPB-MyTeam, Negeri Sembilan, Perlis dan Perak akan melengkapkan aksi ke-10 mereka Sabtu ini selepas beraksi tanpa henti sejak 31 Januari lalu.
Ia melengkapkan tempoh 35 hari yang dipenuhi mereka dengan empat perlawanan Liga Super dan enam perlawanan Piala FA (pusingan pertama, kedua dan suku akhir).
Harimau Muda pula telah beraksi 10 perlawanan tanpa henti bermula perlawanan pusingan pertama Piala FA bertemu KL Plus pada 24 Januari sebelum mereka menghadapi dua perlawanan pada kejohanan jemputan di Hong Kong pada 30 Januari dan 1 Februari.
Kemudian mereka kembali ke tanah air untuk menempuh baki tujuh perlawanan untuk Liga Perdana dan Piala FA.
Dua lagi pasukan suku akhir Piala FA, T-Team dan Selangor pula hanya mengharungi lapan perlawanan tanpa henti dalam tempoh sebulan itu kerana T-Team beraksi di Liga Perdana manakala Selangor mendapat bye untuk pusingan pertama Piala FA.
Jadual padat tidak menjejaskan aksi pasukan? Sudah pasti ia sedikit sebanyak menjejaskan pasukan.
Ambil satu contoh iaitu pasukan pilihan musim ini, Kelantan.
Bermula 31 Januari lalu, Kelantan cemerlang membelasah Johor 4-0 di Kota Bharu untuk perlawanan pusingan pertama Piala FA tetapi tiga hari kemudian mereka tumpas 0-3 di Larkin, mujur melangkah juga ke pusingan kedua menerusi agregat 4-3.
Pada 10 Februari, Kelantan bertandang pula ke Ipoh, menang tipis 3-2 ke atas Perak dan empat hari kemudian mereka beraksi di Kota Bharu, menang tipis 3-2 ke atas Terengganu.
Hanya tiga hari selepas itu mereka ke Kuantan pula, mujur menentang pasukan mudah, Pahang dan Kelantan berjaya mencatat kemenangan besar 5-1.
Nasib mereka agak baik bertemu PDRM pada pusingan kedua Piala FA, sekali gus menang 5-1 di Kota Bharu dan menang 3-1 di Selayang tiga hari kemudian.
Tujuh perlawanan diharungi, Kelantan akhirnya 'habis bateri' apabila tewas 0-3 kepada Selangor pada 28 Februari dan tiga hari kemudian sekadar seri 1-1 dengan UPB-MyTeam pada suku akhir pertama Piala FA di Kelana Jaya.
Namun selepas perlawanan suku akhir kedua Piala FA, Sabtu ini (7 Mac), pasukan-pasukan ini pasti dapat menarik nafas semula apabila perlawanan berikutnya yang perlu diharungi mereka ialah pada 21 Mac untuk Liga Super tetapi bagi Liga Perdana, perlawanan seterusnya bermula 13 Mac ini.
Bulan Mac mungkin agak melegakan sedikit kerana hanya dua hari perlawanan Liga Super dan tiga hari perlawanan Liga Perdana dilangsungkan untuk memberi peluang kepada Kedah dan Johor FC menghadapi dua perlawanan Piala AFC pada 10 dan 17 Mac ini.
Bulan April juga agak lapang apabila hanya ada tiga hari perlawanan Liga Super dan dua hari perlawanan Liga Perdana di samping tiga hari perlawanan Piala FA (separuh akhir dan akhir) dan dua hari perlawanan Piala AFC membabitkan Kedah dan Johor FC.
Dua bulan itu yang boleh disifatkan tanpa jadual padat, Liga M kembali menekan para pemainnya sepanjang bulan Mei dan juga dari pertengahan Jun hingga hujung Julai.
Bulan Mei, terdapat tujuh perlawanan Liga Super dan enam perlawanan Liga Perdana yang perlu ditempuh semua pasukan dan ia tidak termasuk dua perlawanan tambahan perlu diharungi Johor FC dan Kedah pada Piala AFC.
Liga M berehat seketika pada penghujung Mei hingga pertengahan Jun bagi memberi laluan kepada skuad bawah 23 tahun kebangsaan menyertai Piala Antara Benua yang diadakan di negara ini.
Bermula pertengahan Jun hingga hujung Julai, terdapat sembilan perlawanan Liga Super dalam tempoh 28 hari manakala Liga Perdana mempunyai baki 11 perlawanan dalam tempoh 35 hari.
Ternyata ia suatu penamat yang cukup memenatkan buat semua pasukan Liga Super dan Liga Perdana akibat ketidakseimbangan jadual yang dibuat oleh FAM.
Pada awal saingan, mereka seolah-olah melengahkan aksi dengan mengadakan kurang perlawanan (Januari), kemudian mula kelam-kabut menyumbat banyak perlawanan (Februari) sebelum memilih untuk kembali lega pada bulan Mac dan April.
Saingan kembali padat sepanjang bulan Mei dan berehat seketika untuk Piala Antara Benua sebelum kembali padat dari pertengahan Jun hingga hujung Julai.
Pestabola Merdeka akan diadakan pada Ogos manakala Piala Malaysia hanya akan dilangsungkan selepas Hari Raya Aidilfitri iaitu pada bulan Oktober sebelum Liga M musim 2009 melabuhkan tirainya pada awal November depan.
Sesungguhkan, Liga M musim ini sesuatu yang sungguh memenatkan, bukan saja kepada pemain atau pasukan tetapi juga kepada para peminat.
Ia berpunca daripada jadual yang tidak seimbang disediakan oleh FAM sendiri. Jadi, FAM fikirlah sendiri apa kesannya kepada sambutan dan perjalanan Liga M sepanjang musim ini.
Sumber:Kosmo
0 Komen:
Post a Comment