Saturday, March 07, 2009

Piala FA: Menjelang Suku Akhir Ke-2 Kelantan Vs MyTeam (7 Mac 2009)

Butler tak resah tanpa tonggak

SKUAD Kelantan menjalani latihan di Stadium Sultan Mohamad IV sebagai persiapan bertemu UPB-MyTeam, malam ini.

'Kelantan ada ramai pemain berwibawa yang boleh diturunkan malam ini'


KELANTAN tidak bimbang dengan ketiadaan dua tonggak utamanya, penjaga gol, Halim Napi dan pertahanan tengah, Azlan Zainal, apabila melayan kunjungan UPB-MyTeam, pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA, di Stadium Sultan Muhammad Keempat, malam ini.

Pengendali pasukan itu, Peter Butler, berkata Kelantan mempunyai ramai pemain berkualiti serta berwibawa yang boleh diturunkan pada bila-bila masa, bagi menggantikan tempat dua pemain terbabit.

Namun, katanya, Kelantan tidak pernah memandang rendah akan keupayaan pelawat terutamanya anak didik Bojan Hodak, dan berharap pemainnya akan terus mengekalkan prestasi mantap, sekali gus mampu mengekang kemaraan UPB-MyTeam.

"Kelantan bukannya hendak mendabik dada apabila bermain di gelanggang sendiri, namun kemampuan anak didik saya amat membanggakan dan saya yakin kami mampu menang," katanya.

Sementara itu, Shahrizan Ismail, yang bakal menggalas tugas sebagai pengaja gol utama Kelantan menggantikan Halim, akan memanfaatkan sebaik mungkin peluang itu untuk menjelmakan semula kejayaan buat pasukannya.

"Saya mempunyai keyakinan diri yang tinggi, walaupun sudah lama tidak diturunkan dan berjanji akan mempamerkan aksi terbaik.

"Memandangkan saya akan menjadi benteng terakhir buat pasukan ini, saya akan pastikan mampu menyekat semua asakan lawan," katanya.

Sumber: Berita Harian

Piala FA: Peluang terbaik tunggu Kelantan

Berdasarkan prestasi semasa, inilah peluang terbaik untuk Kelantan melayakkan diri ke perlawanan akhir piala FA, namun langkah awal yang perlu diselesaikan ialah menewaskan UPB-My Team pada saingan suku akhir kedua hari ini.

Berbekalkan kelebihan satu gol ditempat lawan dan faktor bermain di tempat sendiri, Peter James Butler yakin pasukan bimbingannya itu mampu menggalas cabaran yang bakal dihadapi.

Sememangnya atas kertas, Kelantan bagaikan sudah melangkah sebelah kaki kerana Stadium Sultan Muhamad IV tidak mudah menyaksikan skuad Kijang rebah, apatah lagi dengan sokongan yang melimpah kelak.

Ujarnya, kehilangan penjaga gol, Halim Napi dan pemain pertahanan, Ahmad Azlan Zainal kerana dilayangkan kad merah tidak menggugat kerana pemain simpanannya juga mempunyai kredibiliti seimbang.

Shahrizan Ismail yang diturunkan pada perlawanan pertama membuktikan dia tidak sepatutnya terus kekal di bangku simpanan.

"Ini adalah masa yang terbaik untuk mereka yang diturunkan membuktikan kebolehan dan kita akan main seperti biasa tanpa sebarang tekanan.

"UPB-My Team tidak boleh dipandang rendah, mereka pasti mempunyai rencana sendiri dan kita juga ada rancangan untuk mereka dan perlu bekerja lebih keras," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Jelasnya, jika semua pemain memberi komitmen yang jitu, mereka tidak akan mempunyai masalah untuk layak ke saingan separuh akhir malam ini.

Sementara itu, bercakap mengenai barisan pertahanan skuad itu yang mudah dibolosi katanya, perkara paling penting adalah menjaringkan gol kemenangan.

"Pertahanan kami mungkin longgar kerana sedikit kesilapan tetapi yang penting barisan penyerang mampu menjaringkan gol untuk memenangi perlawanan.

"Saya datang ke sini untuk bermain bola sepak dan taktik menyerang adalah cara bola sepak saya, saya tidak kisah apabila gawang dibolosi yang penting kita menang dan dapat tiga mata," ujarnya.

Jelasnya, risiko gawang dibolosi merupakan hakikat yang terpaksa di tanggung mana-mana pasukan yang menggunakan corak permainan menyerang.

Sementara itu, penjaga gol kedua Kelantan, Shahrizan Ismail yang akan menggantikan Halim Napi bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut.

"Mungkin ada sedikit rasa gemuruh kerana lama tidak beraksi tetapi saya akan cuba mengatasi perasaan itu dan mungkin selepas 10 minit permainan perasaan itu akan hilang," jelasnya.

Kelantan pastinya menagih sentuhan penyudah Khalid Jamlus dan Indra Putra Mahayuddin selain Badri Radzi yang bertindak merencanakan serangan ke kubu UPB-MY Team dalam pertemuan malam ini.

Sumber: Utusan Malaysia

Wira Merah sedia mengganas
BUTLER memberi arahan kepada anak buahnya pada sesi latihan semalam menjelang
pertemuan menentang UPB-MyTeam malam ini.

KELANTAN kini bersedia untuk melakar kejayaan apabila melayan kunjungan UPB-My Team pada aksi kedua, saingan suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV, Kota Bharu malam ini.

Kehilangan dua pemain utama iaitu penjaga gol, Halim Napi dan pemain pertahanan, Ahmad Azlan Zainal tidak langsung merentap semangat skuad Wira Merah untuk terus 'mengganas' di kandang sendiri.

Pengendalinya, Peter James Butler memberitahu, beliau tidak mempunyai masalah untuk menyenaraikan pemain yang akan diturunkan malam ini.

Menurutnya, beliau percaya pemain yang ada dalam senarainya mempunyai kredibiliti dan keupayaan masing-masing.

"Ini adalah masa terbaik untuk mereka yang diturunkan membuktikan kebolehan dan kita akan main seperti biasa tanpa sebarang tekanan.

"UPB-My Team juga bahaya, mereka pasti mempunyai rencana sendiri dan kita juga ada rancangan untuk mereka dan perlu bekerja lebih keras," katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Tambahnya, kelebihan bermain di gelanggang sendiri serta bekalan satu gol di tempat lawan pasti akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

Ditanya mengenai masalah barisan pertahanannya yang dilihat agak rapuh, Butler memberitahu: "Pertahanan kita mungkin longgar kerana masalah komunikasi di kalangan mereka tetapi penyerang kita amat bagus untuk dapatkan gol.

"Saya datang ke sini untuk bermain bola sepak dan taktik menyerang adalah cara bola sepak saya. Saya tidak kisah apabila gawang dibolosi, yang penting kita menang dan dapat tiga mata," ujarnya.

Jelasnya, risiko gawang dibolosi merupakan hakikat yang terpaksa di tanggung oleh mana-mana pasukan yang menggunakan corak permainan menyerang.

Sementara itu, penjaga gol kedua Kelantan, Shahrizan Ismail yang akan disenaraikan menggantikan Halim Napi bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut.

Menurutnya, dia bersedia untuk mempertahankan gawang Kelantan daripada dirobek oleh barisan depan UPB-MyTeam.

"Mungkin ada sedikit rasa gemuruh kerana lama tidak beraksi tetapi saya akan cuba mengatasi perasaan itu dan mungkin selepas sepuluh minit permainan perasaan itu akan hilang," jelasnya.

Kelantan pastinya menagih sentuhan penyudah Khalid Jamlus dan Indra Putra Mahayuddin selain Badri Radzi yang bertindak merencanakan serangan ke kubu UPB-MyTeam dalam pertemuan malam ini.

Pada aksi pertama, pusingan suku akhir Selasa lalu, kedua-dua pasukan seri 1-1.

Sumber: Kosmo

0 Komen:

Kolum Encik KhaL © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates