NEGERI Sembilan mengakui bakal berhadapan tugas getir menentang Kelantan dalam pertemuan Liga Super di Stadium Sultan Mohamad IV Kota Bharu, malam ini, tetapi menyifatkan kemenangan amat penting kerana ia bukan saja buruan untuk menduduki tangga teratas carta sebaliknya ia mampu memberikan sokongan moral kepada pemain menjelang aksi separuh akhir Piala FA, 7 April nanti.
Sehubungan itu, jurulatih Wan Jamak Wan Hassan, mahu anak buahnya memberikan persembahan terbaik bagi merealisasikan kemenangan.
Menurutnya, beliau sudah membuat persiapan rapi semasa rehat tempoh hari termasuk melakukan beberapa perubahan taktikal bagi memantapkan jentera pasukan.
“Misi kita adalah untuk mencapai kemenangan sekali pun beraksi di gelanggang lawan dan pemain perlu melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin.
“Apa yang penting pemain kena fokus sepenuhnya terhadap persembahan mereka di atas padang kerana ia adalah faktor penentu kepada kemenangan.
“Mereka sudah diingatkan betapa kemenangan ke atas Kelantan amat penting, bukan saja dalam usaha untuk menuju ke tangga teratas carta tetapi azimat penting dalam meningkatkan lagi keyakinan diri menjelang saingan separuh akhir pertama Piala FA, nanti,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Jika mengalami masalah untuk menekan butang "...lagi", sila tekan sini.
0 Komen:
Post a Comment