SKUAD Kelantan mampu menarik nafas lega apabila tonggak pertahanan mereka, Farisham Ismail pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Dia disahkan cergas untuk kembali beraksi.
Pertembungan menentang Pulau Pinang dalam saingan Liga Super di Kota Bharu, Sabtu ini bakal menampilkan aksi pertamanya selepas hampir tiga bulan berehat.
Menurutnya, beliau terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan hamstring ketika latihan sebelum menentang Johor dalam saingan Piala FA, Januari lalu.
"Saya hanya sempat beraksi dalam tiga perlawanan untuk musim 2009 dan terpaksa melihat aksi rakan-rakan dari luar padang selepas mengalami kecederaan.
"Kini saya disahkan cergas dan tidak sabar untuk kembali beraksi dan berharap akan disenaraikan dalam pertemuan menentang Pulau Pinang Sabtu ini," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, beliau sudah menjalani latihan seperti biasa dan sudah tidak sabar untuk turun beraksi membantu benteng Kelantan yang dilihat agak longgar.
"Saya mungkin akan digandingkan bersama Rizal (Fahmi Rosid) sebagai bek tengah selepas kehadiran Daudsu (Jamaluddin) yang mengambil posisi lama di bahagian pertahanan kanan.
"Pertahanan tengah memang posisi saya sejak dulu dan tahun lepas saya terpaksa bermain sebagai bek kanan," ujarnya.
Jelasnya, beliau tidak mempunyai masalah untuk membentuk gandingan bersama Rizal Fahmi kerana pernah bermain bersama sejak mewakili Kelantan dalam pasukan Piala Presiden.
Sementara itu, ketua pasukan Kelantan, Badri Radzi berkata, kehadiran Farisham mampu mengubah persembahan Sang Kijang dan khidmatnya amat diperlukan.
Jelasnya, Kelantan kehilangan khidmat Ahmad Azlan Zainal yang masih menjalani hukuman penggantungan akibat dilayangkan kad merah dan Farisham dilihat mampu mengisi kekosongan tersebut.
"Dia (Farisham) mempunyai kepantasan yang sungguh menakjubkan dan pasukan amat bergantung harap kepadanya untuk membentuk benteng yang kukuh bersama Rizal.
"Kita sedang berusaha untuk mengukuhkan lagi benteng pertahanan yang dilihat agak longgar dan pemain lain juga dilihat sudah bersedia beraksi selepas diberikan cuti yang agak panjang," ujarnya.
Sumber: Kosmo
Halim, Shahrizan peningkan Butler
PENGENDALI pasukan Kelantan, Peter Butler, belum memutuskan penjaga gol mana antara Halim Napi dan Shahrizan Ismail yang akan diturunkan pada perlawanan Liga Super menentang Pulau Pinang di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Sabtu ini.
Namun, dia tetap lega kerana sekurang-kurangnya mempunyai pilihan selepas Halim bersama, pemain pertahanan tengahnya, Azlan Zainal, yang digantung dua perlawanan kerana kad merah, kini sudah boleh dipertimbangkan selepas menjalani hukuman mereka.
“Sehingga kini, saya masih menilai prestasi kedua-dua penjaga gol itu. Bagi saya, Shahrizan menunjukkan prestasi yang baik selepas diberi peluang beraksi pada perlawanan sebelum ini, manakala Halim perlu pandai mengawal emosinya, sekiranya diturunkan," katanya.
Butler berkata, rehat panjang selama dua minggu membolehkannya mengatur strategi dan menggandakan lagi latihan pasukannya dan kehadiran tonggak utama seperti Azlan, bakal menguatkan lagi pertahanan Kelantan.
Menurut Butler, anak didiknya itu sedia menerima kunjungan Pulau Pinang dan yakin kelebihan beraksi di gelanggang sendiri bakal menyaksikan tiga mata menjadi milik mereka.
Katanya, kemenangan dan pungutan mata penuh adalah keutamaanya pada pertemuan malam itu, apa lagi keseluruhan tonggak utama Kelantan kini berada dalam keadaan terbaik.
"Berdasarkan rekod sebelum ini, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri memihak kepada kami dan saya yakin kemenangan pasti berulang lagi.
“Selain kemenangan, kami juga turut mengintai ruang untuk ke tangga teratas liga tetapi keupayaan Pulau Pinang tidak boleh dipandang rendah,” katanya.
Kelantan kini menghuni tangga kedua Liga Super selepas berkongsi mata dengan pendahulu liga, Selangor tetapi dibezakan dengan jumlah jaringan manakala Pulau Pinang yang dilanda pelbagai masalah kini berada di tangga ketiga tercorot.
Sumber: Berita Harian
Jika mengalami masalah untuk menekan butang "...lagi", sila tekan sini.
0 Komen:
Post a Comment