Friday, February 27, 2009

Liga Super: Menjelang Pertemuan Selangor Vs Kelantan Esok (28 Feb 2009)

Mahu buang badi di Shah Alam

KELANTAN mahu menamatkan badi kekalahan kepada Selangor sejak 30 tahun lalu apabila beraksi di gelanggang lawan malam esok.

Begitulah azam skuad Kelantan yang mendapat jolokan baru, Wira Merah menjelang perlawanan menentang Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, Kelantan mampu melakukan kejutan dengan menewaskan Selangor berdasarkan prestasi membanggakan yang ditunjukkan pada masa ini.

"Saya akui rekod Kelantan di gelanggang lawan sebelum ini buruk tetapi pada musim ini skuad yang ada merupakan yang terbaik dan tidak boleh dipandang rendah lagi berbanding musim-musim lalu.

"Bukan sesuatu yang mustahil Kelantan dapat menamatkan badi kekalahan ke atas Selangor apabila beraksi di Stadium Shah Alam, Sabtu ini (esok)," katanya di Kota Bharu semalam.

Selain itu Annuar berkata, kemenangan ke atas Selangor dalam perlawanan itu juga penting bagi mengukuhkan kedudukan Kelantan sebagai pendahulu Liga Super.

Bagaimanapun jelasnya, barisan Kelantan tetap menghormati Selangor yang menampilkan adunan pemain berpengalaman serta baru yang hebat.

"Pemain telah berjanji akan mempamerkan persembahan terbaik bagi menjamin mereka dapat mengutip tiga mata penuh di gelanggang lawan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, Kafa masih menunggu keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung rayuan pembatalan perlawanan Liga Super yang membabitkan Kelantan menentang KL Plus di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, 3 Januari lalu.

FAM memberi kemenangan 3-0 dan tiga mata percuma buat KL Plus setelah Kelantan dipersalahkan kerana gagal menyediakan venue perlawanan yang baik.

Ia disebabkan keadaan padang yang becak dan teruk serta ditakungi air ekoran hujan lebat beberapa jam sebelum perlawanan.

"Dalam hal ini, kita bersabar menunggu keputusan itu kerana kita ada asas yang kukuh. Kita yakin pasukan kita akan diberi peluang bermain semula dengan KL Plus," katanya.-Kosmo


Kelantan tak gentar gema Shah Alam

PEMAIN Kelantan Mohd Khalid Jamlus (kiri) bakal mengkucar-kacirkan benteng Selangor dalam perlawanan Liga Super di Shah Alam, malam esok.

Anggap 'ibu segala perlawanan'

KELANTAN bakal berkunjung ke Stadium Shah Alam, Sabtu ini, berbekalkan tekad untuk menjarakkan kedudukan selaku pendahulu Liga Super kepada enam mata ke atas Selangor, sambil menamatkan kemarau kemenangan skuad itu di gelanggang keramat Merah Kuning sejak 30 tahun lalu.

Pertentangan dua pasukan berprofil tinggi yang diberi jolokan garang, Red Warriors (Kelantan) dan Red Giants (Selangor) itu boleh dianggap sebagai `ibu segala perlawanan' dengan sebarang keputusan akan menggambarkan pasukan mana bakal dilabel selaku pilihan bergelar juara Liga Super edisi keenam.

Sehubungan itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa (gambar), menuntut anak didik skuad kendalian Peter Butler itu tampil dengan aksi lebih bertenaga dalam usaha melakar sejarah buat julung kalinya menewaskan Selangor di gelanggang lawan sejak tiga dekad lalu.

"Setahu saya, Kelantan sudah 30 tahun tidak pernah menang di Selangor, tetapi itu kisah lama. Sekarang situasi berlainan di mana Kelantan kini adalah pendahulu Liga Super dan saya yakin pemain tahu apa yang perlu dilakukan untuk memastikan tiga mata.

"Walaupun ia cuma satu perlawanan daripada musim yang masih panjang, ini adalah pertemuan dua pasukan teratas. Jadi, saya mahu pemain turun dengan satu matlamat iaitu mencatat kemenangan kerana mereka juga berpeluang mencipta sejarah bola sepak Kelantan," kata Annuar.

Annuar berkata, dalam pertemuannya dengan pemain selepas mereka menewaskan Polis dalam aksi Piala FA Selasa lalu, semua pemain berjanji menampilkan aksi terbaik untuk pasukan sesuai dengan status Kelantan yang kini bergelar pendahulu liga.

"Berdasarkan perbincangan dengan jurulatih (Butler), saya diberitahu kebanyakan pemain masih belum mencapai kemuncak dan saya harap pemain akan mempamerkan prestasi sebenar dalam perlawanan Sabtu ini," katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui Selangor bukan calang-calang pasukan apa lagi juara Piala Malaysia 30 kali itu sudah pasti mahu melakukan kebangkitan segera selepas tewas kepada MyTeam dalam aksi sebelum ini sehingga melepaskan takhta liga kepada Kelantan.

Annuar menjangkakan kedua-dua pasukan bakal menyajikan aksi berkualiti kerana masing-masing memerlukan kemenangan dengan pasukan yang bijak menyempurnakan peluang serta kurang melakukan kesilapan bakal pulang dengan kemenangan.

"Selain itu, sokongan padu penyokong turut memainkan peranan untuk menaikkan semangat pemain. Setakat ini, 12 bas sudah mengesahkan membawa penyokong Kelantan ke Shah Alam dan jumlah itu dijangka bertambah menjelang hari perlawanan.

"Saya harap penyokong Kelantan di Lembah Klang dapat beramai-ramai ke stadium bagi mengimbangi sokongan yang diterima Selangor, sekali gus memastikan pemain tidak kekok berdepan sorakan bergemuruh penyokong tuan rumah," katanya.-Berita Harian


Kelantan berdepan saingan sebenar

Setelah mengharungi tujuh perlawanan, Kelantan yang menunjukkan ia semakin sukar digugat, bakal berdepan dengan saingan sebenar, gergasi merah, Selangor, esok.

Kelantan yang melangkah ke Liga Super musim ini dengan penuh yakin mahu membuktikan ia tidak akan berterusan menjadi budak belasahan berdepan dengan pasukan Merah Kuning itu.

Ia mahu menamat badi kekalahan ke atas pasukan Selangor apabila beraksi di gelanggang lawan itu sejak 30 tahun lalu dan melebarkan kedudukannya di tangga teratas daripada digapai lawan.

Skuad Kelantan yang cuba diberi jolokan baru, 'Wira Merah' menjelang perlawanan menentang Selangor, esok sudah dipersiapkan dengan perancangan rapi termasuk dari segi pertarungan mental.

Malah, lebih 5,000 penyokong akan berarak ke Stadium Shah Alam termasuk menggunakan 20 buah bas untuk mengiringi perjuangan skuad Kijang.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, Kelantan mampu melakukan kejutan menewaskan pasukan Selangor berdasarkan prestasi membuak yang ditunjukkan kesebelasan pemain Kelantan pada masa ini.

Beliau akui rekod Kelantan di gelanggang lawan sebelum ini buruk tetapi skuad Kelantan pada musim ini merupakan yang terbaik dan tidak boleh diperlekehkan lagi.

''Bukan sesuatu yang mustahil Kelantan berjaya menamatkan badi kekalahan ke atas Selangor apabila beraksi di Stadium Shah Alam, Sabtu ini (esok)," katanya di Kota Bharu semalam.

Selain itu, Anuar berkata, kemenangan ke atas Selangor dalam perlawanan itu juga penting bagi mengukuhkan kedudukan Kelantan sebagai pendahulu Liga Super setakat ini dan juga melonjkkan moral pemain.

Bagi Annuar sekiranya Selangor dapat ditewaskan dengan bergaya, anak buahnya di bawah kendalian Peter Butler mampu menumpaskan pasukan mana sekalipun.

Bagaimanapun jelasnya, barisan pemain Kelantan tetap menghormati Selangor yang mempunyai barisan pemain muda yang hebat dan pasukan itu juga didapati ingin merampas semula sebagai pendahulu Liga Super .

''Pemain-pemain Kelantan telah berjanji akan mempamerkan persembahan yang terbaik bagi menjamin mereka dapat mengutip tiga mata penuh di gelanggang lawan," ujarnya.-Utusan Malaysia


Kijang tekad tamat badi

SKUAD Kijang yang kini dikenali sebagai The Red Warrior berazam menamatkan badi tidak pernah menang ketika menentang Selangor setiap kali bertandang ke gelanggang lawan, sejak 30 tahun lalu.

Perkara itu mahu dilakukan ketika Kelantan menentang Selangor dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, esok.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa berkata kemenangan ke atas Selangor di tempat lawan, menjadi misi penting dalam menyuntik semangat pasukannya yang tidak pernah menang dalam setiap pertemuan antara kedua-dua pasukan di gelanggang lawan.

“Hasrat yang terpendam sejak sekian lama ini tidak sukar dicapai berikutan aku janji pemain yang mahu turun berhabis-habisan bagi memastikan kemenangan.

“Pertemuan kali ini sangat penting. Kita tahu, kita masuk ke tempat dia, kita punya rekod yang tak baik sebelum ini, tapi itu Kelantan dulu, kita kini dikenali dengan gelaran ‘The Red Warrior’.

“Kita fikir bagus bertandang ke Selangor dulu, lepas itu baru layan mereka di tempat kita. Tahun lalu kita pernah tewaskan Selangor di Kelantan, tapi sekali lagi kita tewas di Selangor kemudiannya,” katanya.

Kelantan kini mengungguli takhta Liga Super. Mereka juga berjaya melangkah ke suku akhir Piala FA dengan jumlah jaringan terbanyak.-Harian Metro

0 Komen:

Kolum Encik KhaL © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates