Monday, April 06, 2009

Saya dihalau pemimpin DAP 24 jam – Hee Yit Foong (ADUN Jelapang)

Sejak dua bulan lalu penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelapang dan wartawan mencari Hee Yit Foong dan semalam beliau mengadakan sidang akhbar untuk menjelaskan kedudukan sebenar mengapa beliau keluar daripada parti yang dianggotainya sejak 22 tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Jelapang daripada DAP itu mencetuskan kontroversi kerana tindakannya melepaskan kedudukannya dalam parti telah menyebabkan kerajaan pakatan pembangkang tumbang di Perak.

Wartawan Utusan Malaysia, ABDUL RAZAK DIN yang mengikuti sidang akhbar itu diberitahu oleh ADUN tersebut bahawa, ia bukan dibuat kerana hampir dengan Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang tetapi dibuat setelah selesai kes di mahkamah baru-baru ini yang mana mengesah serta mengekalkan beliau sebagai ADUN Jelapang.

UTUSAN: Apa kedudukan sebenar isu keluar parti ini?

HEE YIT FOONG: Saya sebenarnya hanya melepaskan keanggotaan parti DAP kerana saya tidak mahu menghadapi pelbagai lagi tuduhan di mahkamah.

Saya tidak tahan dengan penghinaan dan hipokrit yang dilakukan oleh pemimpin parti itu yang sepatutnya mereka saling hormat menghormati dan saya meminta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya menunaikan kerajaan yang Cekap, Akauntabiliti, Telus (CAT) terlebih dahulu di Pulau Pinang.

Sebenarnya saya tidak hilang, dalam tempoh 24 jam semasa diberi tempoh yang diberikan oleh pemimpin DAP yang mengatakan mana-mana ADUNnya yang tidak dapat dihubungi dianggap keluar parti.

Ingin saya tegaskan mereka tidak pernah menghubungi saya sejak dari tarikh itu sehingga sekarang.

Ingin saya tegaskan, jika saya mendapat apa-apa tawaran, kerajaan pembangkang tidak boleh wujud sehingga 10 bulan pun.

Saya melepaskan jawatan dalam parti kerana masalah dalaman dalam parti dan bukan disebabkan masalah lain.

Apa masalah lain menyebabkan YB keluar parti?
Saya keluar (parti) disebabkan kerajaan pembangkang Perak tidak menunaikan pemberian kuota pegawai kerajaan yang perlu berkhidmat kepada Exconya walaupun saya diberi seorang pegawai untuk berkhidmat kepada saya.

Saya juga dituduh meminta konsesi balak beribu-ribu hektar daripada kerajaan walaupun saya sendiri tidak mengisi borang untuk permohonan tersebut.

Selepas itu, saya tidak berpuas hati dengan isu wanita di Perak yang seolah-seolah tidak diambil berat oleh kerajaan pakatan pembangkang walaupun pengundi wanita di Perak melebihi 51 peratus.

Saya juga ingin menolak dakwaan (ke luar negara) bahawa saya tidak pernah ke luar negeri sejak tahun 2004 lagi setelah ada orang mengatakan saya pergi ke Hong Kong. Ingin juga saya tegaskan bahawa saya tidak berhutang dengan pejabat (khidmat) ADUN yang saya gunakan untuk urusan di kawasan saya.

Apa yang YB lakukan dalam tempoh dua bulan lalu?
Saya mengelilingi Malaysia untuk melihat pendekatan yang dilakukan oleh wakil rakyat lain dalam mendekati rakyat. Dalam lawatan itu saya ingin mengambil pendekatan ‘mengambil yang jernih dan membuang yang keruh’ supaya nasib rakyat terus diperjuangkan.

Setelah mengambil keputusan melepaskan jawatan parti adakah YB dikenakan ancaman mana-mana pihak?
Saya tidak dikenakan ancaman apa-apa pun, cuma SMS itu adalah, itu pun telefon berkenaan telah diambil oleh polis untuk dibuat siasatan. Sebenarnya saya rindu untuk kembali ke Jelapang dan bertemu pengundi saya secepat mungkin.

Mengapa YB tidak kembali selepas melepaskan jawatan?
Saya ada balik ke kawasan tetapi secara senyap-senyap kerana tahu kesan tindakan itu. Kini saya lebih kerap bertemu mereka untuk menyelesaikan masalah penduduk kampung. Ahli keluarga saya pun tidak diancam.

Apa sebenarnya yang menyebabkan YB keluar parti?
Saya tidak akan keluar parti jika tidak dihalau 24 jam dari parti yang saya anggotai sejak 22 tahun yang lalu.

Apakah tugas YB sekarang?
Tugas saya berkhidmat untuk rakyat yang mengundi saya, terutama penduduk kampung dan saya sedang menunggu untuk menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Perak.

Adakah YB akan menyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri Perak?
Saya menyokong mereka jika membela nasib rakyat kerana saya kini calon Bebas dan saya berharap keadaan yang berlaku sekarang kembali pulih seperti sedia kala.

Sumber: Utusan Malaysia

Jika mengalami masalah untuk menekan butang "...lagi", sila tekan sini.

0 Komen:

Kolum Encik KhaL © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates