Rasuah: KAFA lebih berhati-hati
PRESTASI pasukan bola sepak Kelantan semakin menjadi-jadi.
Peningkatan yang dipamerkan sungguh menakjubkan, sekali gus menjadikan mereka antara pasukan yang perlu diberi perhatian dalam Liga Super.
Walaupun bangga dengan prestasi terkini skuad Kijang itu, namun Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tetap mengambil langkah berhati-hati agar pemainnya tidak 'dijangkiti' penyakit lama dalam bola sepak negara iaitu gejala rasuah.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa memberitahu, Kafa memandang serius perkara tersebut dan sedang mengambil langkah untuk menghalang pemain-pemainnya terjebak dalam gejala tidak sihat itu.
Menurutnya, era 90-an menyaksikan gejala rasuah pernah menjatuhkan industri bola sepak tanah air ke tahap paling rendah dan Kelantan juga turut terkena tempiasnya.
"Saya telah menemui pemain dan bercakap dengan mereka dari hati ke hati mengenai masalah tersebut agar mereka dapat mengelakkan diri daripada terlibat dengan aktiviti menjual perlawanan ini.
"Bookie-bookie bola sepak ini hanya ingin mengambil kesempatan di atas kerancakan liga bola sepak kita dan pada akhirnya pemain sendiri yang akan menerima akibatnya," katanya ketika ditemui di Kota Bharu kelmarin.
Tambahnya, setakat ini Kafa tidak menerima apa-apa maklumat mengenai gejala tersebut dan mengambil langkah awal untuk mengelakkannya daripada terjadi.
Sementara itu Annuar berkata, beberapa langkah keselamatan akan diambil oleh pihaknya dengan kerjasama perbadanan stadium.
Katanya, Kelantan bakal beraksi menentang beberapa pasukan elit di Kota Bharu dan langkah keselamatan adalah amat penting untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.
"Kita telah bersetuju untuk menambah bilangan petugas keselamatan daripada 20 kepada 40 orang serta anggota polis yang ditugaskan juga akan digandakan jumlahnya.
Jelasnya, Kafa juga mengesan tindakan sesetengah penyokong yang masuk ke stadium menggunakan tiket yang tidak sah termasuk tiket klon dan tiket perlawanan sebelum ini.
"Kita percaya tiket-tiket palsu ini sudah mula menular, namun masih belum ketara dan setakat ini kita berpuas hati dengan jumlah pungutan tiket," tambahnya.
Sumber: Kosmo
Kelantan periksa tiket guna alat khas
KOTA BHARU - Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) akan menggunakan alat pemeriksa tiket yang mengeluarkan cahaya sinar ultra ungu bagi mengesan penonton yang menggunakan tiket palsu untuk menyaksikan perlawanan bola sepak di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Kafa, Azman Ibrahim berkata, melalui alat itu, pihaknya dapat mengesan tanda keselamatan yang terdapat pada tiket yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu.
"Kita tidak boleh memberitahu tanda keselamatan pada tiket asli yang sememangnya tidak boleh dilihat dengan mata kasar, namun tanda keselamatan itu pastinya tidak ada pada tiket palsu," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Beliau berkata demikian berikutan tiket palsu mula dikesan pada beberapa siri perlawanan tumpuan sebelum ini yang menyaksikan kutipan tiket tidak seperti jumlah kehadiran penonton dengan Kafa mendapatkan kerjasama pihak polis bagi mengesan kegiatan itu.
Azman berkata, Kafa hanya membuka kaunter jualan tiket kepada peminat bola sepak di negeri ini di stadium pada petang perlawanan iaitu sekitar pukul 3 ataupun 5 petang dan tiket bagi setiap perlawanan akan dicetak berbeza.
"Kafa tidak pernah menjual tiket lebih awal daripada hari perlawanan, jika ada ia adalah tiket palsu," katanya.
Sehubungan itu Azman menasihati orang ramai supaya tidak membeli tiket melalui ulat tiket, bagi mengelak daripada sebarang masalah untuk menyaksikan perlawanan.
"Sekiranya didapati memiliki tiket palsu pihak kami akan menyerahkan penonton terbabit kepada pihak polis," ujarnya.
Sumber: Utusan Malaysia
Sekitar Piala FA 2009
Kijang cemerlang
NAIB juara Piala FA yang dikecewakan juara bertahan, Kedah, pada aksi final di Stadium Shah Alam, tahun lalu, tampak semakin hampir merampas mahkota selaku juara piala berkenaan.
Tetapi Kedah tersungkur di suku akhir kepada UPB/MyTeam, bulan lalu, dan andaian awal mengatakan Selangor dan Kelantan bakal menjadi pilihan berentap di final persaingan musim ini.
Namun, semua itu bukanlah langsung mengetepikan dua lagi pasukan yang turut layak ke separuh akhir, Negeri Sembilan dan Perlis kerana prestasi kedua-dua pasukan itu kelihatan seimbang dengan mengambil kira aksi sebelum ini.
Undian peringkat separuh akhir menyaksikan Kelantan bakal berdepan Negeri Sembilan di Paroi sementara Selangor bakal bertandang ke Kangar berdepan Perlis. Separuh akhir pertama dijadualkan berlangsung pada 7 April depan.
Sumber: Harian Metro
0 Komen:
Post a Comment