Sokongan peminat jadi penentu
JURULATIH Kelantan, Peter Butler tidak menganggap keputusan seri 1-1 dengan UPB-MyTeam pada saingan suku akhir pertama Piala FA, kelmarin sebagai halangan buat pasukannya meneruskan kemaraan ke separuh akhir.
Justeru, pengendali itu mengharapkan sokongan padu penyokong sendiri mampu menyemarakkan semangat pemainnya apabila beraksi di Stadium Muhamad Ke-IV untuk aksi kedua, Sabtu ini.
“Masih terdapat 90 minit perlawanan untuk kami hadapi dan apa saja boleh terjadi di Kota Bahru, kami pernah ketinggalan dalam beberapa perlawanan tetapi mampu bangkit untuk menang di sana.
“Sokongan peminat kami sentiasa meningkatkan moral pemain apabila beraksi di tempat sendiri, tetapi saya akan tetap mengingatkan pemain saya untuk tetap tidak memandang rendah keupayaan lawan,” kata Butler.
Namun, Butler mengakui barisan pertahanan pasukan masih perlu diperbaiki dan akan mengatur semula barisan benteng sebelum pertemuan kedua dengan UPB-MyTeam.
Sementara itu jurulatih UPB-MyTeam, Bojan Hodak mengakui tugas sukar bakal dihadapi pasukan di Kota Bahru selepas gagal mendapatkan bekalan selesa di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, kelmarin.
Hodak turut mengakui kekurangan pemain dalam skuadnya musim ini yang hanya dibarisi 16 pemain turut memberi kesukaran kepadanya untuk melakukan rombakan dalam senarai pemain utama.
Tetapi Hodak tetap bersikap positif skuad muda kendaliannya akan turun dengan semangat juang tinggi Sabtu ini, untuk melakar laluan ke peringkat separuh akhir.
“Bermain di mana-mana saja di tempat lawan pasti sukar untuk menjaringkan gol, skuad kami yang kecil turut menyukarkan kami untuk beraksi dengan konsisten dalam setiap perlawanan.
“Sesetengah pemain bermain sejak saingan Liga Super bermula sehingga sekarang dan sudah pasti mereka juga keletihan daripada segi mental selepas beraksi dalam tujuh perlawanan dalam masa 18 hari,” katanya.
“Bagaimanapun, rekod kami di tempat lawan pada musim ini adalah lebih baik berbanding musim lalu dan saya berharap pemain-pemain saya akan meneruskannya pada aksi kedua dengan Kelantan nanti, ” kata Hodak.
Sumber: Berita Harian
Apa sahaja boleh berlaku - Butler
Walaupun mempunyai dua kelebihan, beraksi di gelanggang sendiri dan gol di tempat lawan tetapi ia tidak menjamin pasukan Kelantan untuk mara dengan mudah ke separuh akhir Piala FA selepas berjaya mengikat UPB-MyTeam 1-1 dalam perlawanan suku akhir pertama, kelmarin.
Menurut jurulatih Kelantan, Peter Butler, walaupun mereka mempunyai kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri tetapi apa sahaja boleh terjadi pada Sabtu ini.
"Mereka sudah melaksanakan tugas dengan baik hari ini (kelmarin) apabila berjaya mengawal permainan dan saya tidak kecewa walaupun kami hanya seri," kata Butler ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin di Stadium Petaling Jaya.
Jelasnya, pertemuan dengan MyTeam memang dijangka sengit berikutan pasukan itu pernah menewaskan Selangor dalam Liga Super dan menyingkirkan Kedah di pusingan kedua Piala FA.
"Mereka mempamerkan permainan yang profesional dan berdisiplin walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Ahmad Azlan Zainal dilayangkan kad merah.
"Ada antara mereka pemain muda tetapi mampu melaksanakan setiap arahan saya," ujar Butler.
Mengenai kad merah yang diterima Azlan, Butler mengakui ia keputusan yang tepat berikutan pemain pertahanannya itu memang jelas menarik penyerang MyTeam, Stanley Bernard.
"Ia satu pengajaran buat pemain, termasuk pemain muda, saya selalu menekankan kepada mereka kita bukan bermain secara individu tetapi sebagai satu pasukan.
"Kami akan berjuang habis-habisan dalam perlawanan suku akhir kedua nanti dan sudah tentu penyokong akan berada di belakang memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka," jelasnya.
Tambahnya, dalam usaha untuk mara ke separuh akhir pemain dinasihatkan jangan melakukan kesilapan mudah yang mampu mengundang padah seterusnya tersingkir daripada saingan.
Bojan ramal sukar di Kota Bharu
Keputusan seri 1-1 menentang Kelantan di gelanggang sendiri mengundang sukar buat UPB-MyTeam apabila berkunjung ke Kota Bharu untuk perlawanan suku akhir pusingan kedua Piala FA, Sabtu ini.
Perkara ini diakui sendiri oleh jurulatih MyTeam, Bojan Hodak memandangkan ribuan penyokong pasukan pantai timur itu akan memenuhi Stadium Sultan Mohamed Keempat untuk memberi sokongan kepada pasukan Kelantan.
"Sukar untuk kami beraksi di Kota Bharu Sabtu nanti tetapi saya masih beranggapan peluang antara kedua-dua pasukan adalah 50-50," kata jurulatih dari Croatia itu pada sidang akhbar selepas perlawanan di Stadium Petaling Jaya, kelmarin.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 hasil jaringan pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-11 sebelum disamakan oleh Mohamed Aslam Haja enam minit kemudian.
Jelasnya, MyTeam hanya bergantung kepada rekod di tempat lawan yang akan menjadi pembakar semangat buat pasukannya.
"Pasukan saya bermain sangat bagus di tempat lawan, saya berharap perkara yang sama akan berlaku di Kota Bharu nanti dan keputusan seri ini boleh dikatakan adil antara kedua-dua pasukan.
"Pada pertemuan kedua nanti pasukan saya perlu melakukan serangan habis-habisan dan jangan mudah hilang tumpuan walaupun ada di antara mereka masih lagi kepenatan selepas mengharungi tujuh perlawanan dalam tempoh 18 hari," kata Bojan.
Katanya, aksi anak buahnya hari ini (kelmarin) sangat memuaskan tetapi masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki.
"MyTeam berjaya memberi tekanan kepada Kelantan selepas pemain mereka dilayangkan kad merah tetapi dalam masa yang sama terlalu memberi banyak ruang ketika melakukan serangan.
"Ruang yang ditinggalkan membolehkan pemain Kelantan melakukan serangan balas tetapi nasib baik tiada jaringan tambahan," ujarnya.
Sumber: Utusan Malaysia
Lagi-lagi kad merah
Pemain pertahanan Kelantan, Ahmad Azlan Zainal diarah meninggalkan padang selepas menerima kad merah menyebabkan peminatnya kecewa dengan keputusan tersebut.
Setiausaha Kehormat Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan, Muhammad Yatimin Abdullah berpendapat, sesuatu perlu dilakukan oleh pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam mengangkat kredibiliti pengadil-pengadil bola sepak di negara ini.
Menurutnya, musim 2009 ini menyaksikan beberapa keputusan yang dibuat pengadil tidak konsisten dan sering dipertikaikan.
"Kami para penyokong Kelantan dukacita dengan keputusan pengadil apabila menghadiahkan kad merah untuk Azlan.
"Azlan terlibat dalam insiden tarik menarik yang sepatutnya diberi amaran dan bukannya melakukan kekasaran yang mendatangkan kecederaan atau mengancam pemain lawan," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, keputusan pengadil itu menyebabkan Kelantan terpaksa mengharungi 45 minit permainan separuh masa kedua dengan 10 pemain serta terpaksa bermain secara bertahan.
Katanya, ini merupakan pengalaman pahit yang terpaksa dihadapi oleh pemain serta seluruh peminat pasukan Kelantan apabila pemain mereka menerima kad merah dalam dua perlawanan berturut-turut.
"Di Shah Alam, keputusan pengadil juga diragui. Insiden pertama melibatkan pemain sayap, Zamri (Ramli) yang di siku dan sepatutnya Kelantan dihadiahkan sepakan penalti, tetapi itu dinafikan oleh pengadil.
"Insiden kedua melibatkan penjaga gol Halim Napi yang membaling bola dan terkena pemain lawan juga sepatutnya hanya cukup sekiranya diberikan amaran bukan dikenakan kad merah," ujarnya.
Jelasnya, FAM perlu memantau dan mengkaji beberapa keputusan yang dibuat oleh para pengadil kerana ia boleh mempengaruhi mutu dan kerancakan liga tempatan.
Kelantan berasa selesa hadapi lawan
WALAUPUN terpaksa bermain dengan 10 pemain sepanjang 45 minit separuh masa kedua, Kelantan berjaya mengekang asakan UPB-My Team pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya malam kelmarin.
Lebih membanggakan, Kelantan berjaya mencuri satu jaringan di tempat lawan untuk keputusan seri 1-1, sekali memperoleh bekalan ditempat sendiri pada perlawanan kedua, Sabtu ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan, Azman Ibrahim memberitahu, semangat yang ditunjukkan pemain ketikan menentang UPB-My Team lebih baik berbanding ketika aksi menentang Selangor Sabtu lepas.
Menurutnya, pemain menyedari tugas masing-masing untuk mencatatkan keputusan selesa selain matlamat untuk mendakap Piala FA musim ini.
"Bagaimanapun, persembahan sedikit terganggu selepas Ahmad Azlan (Zainal) dibuang padang kerana kesalahan menarik pemain lawan.
"Secara keseluruhan, pihak pengurusan berpuas hati dengan semangat yang ditunjukkan apabila kita berjaya menyeimbangkan permainan walaupun beraksi dengan sepuluh pemain untuk tempoh yang lama," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, Kelantan juga memiliki beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol melalui asakan yang dibuat dan tidak menggunakan taktik bertahan walaupun kehilangan seorang pemain.
Mengulas mengenai tindakan Azlan menarik pemain UPB-My Team sehingga menerima layangan kad merah, Azman berkata: "Tindakan tersebut merupakan satu tindakan yang profesional kerana pemain lawan mampu mengancam gawang Kelantan sekiranya Azlan tidak bertindak sedemikian.
"Sebagai seorang pemain profesional, dia (Azlan) mengetahui akibat yang terpaksa diterima ekoran tindakan tersebut dan kita menerima keputusan pengadil itu," ujarnya.
Jelasnya, peluang beraksi di gelanggang sendiri Sabtu ini tidak akan dipersiakan Kelantan dan ini merupakan peluang untuk Sang Kijang mencipta sejarah dalam usaha membawa pulang piala tersebut ke negeri ini.
Sumber: Kosmo
0 Komen:
Post a Comment